KESIMPULAN
Posted by Unknown
Pelbagai perkara dan pengalaman yang amat berharga telah saya perolehi serta tempuhi sepanjang saya menjalani Latihan Industri di syarikat Asadra (M) Sdn Bhd bermula dari 17 Jun 2013 hingga 1 November 2013. Saya telah didedahkan dengan situasi sebenar dunia pekerjaan dalam bidang Pengurusan Pejabat yang membolehkan saya memahami serta mengetahui dengan lebih baik tentang bidang ini. Pada pandangan saya, Latihan Industri yang dijalankan ini telah dapat mencapai objektif yang ditetapkan iaitu:
- Mendedahkan pelajar kepada persekitaran dan suasana kerja dalam bidang masing-masing.
- Menggunakan pengetahuan yang dipelajari di Politeknik bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi di organisasi dengan bimbingan.
- Menggunakan pengalaman daripada Latihan Industri yang diikuti untuk pembelajaran mereka seterusnya di Politeknik.
- Melatih pelajar berinteraksi dan berkomunikasi secara berkesan di semua peringkat di tempat kerja.
- Memupuk semangat bekerja secara berkumpulan.
- Mengamalkan nilai etika dan peraturan kerja yang baik.
- Mewujudkan jalinan hubungan Politeknik dengan organisasi.
- Melatih pelajar menyediakan laporan teknikal berkaitan dengan Latihan Industri yang dijalankan.
Banyak perkara baru yang sebelum ini tidak pernah saya pelajari di Politeknik dapat dipraktikkan dalam kursus ini. Antara sesuatu yang baru saya mempelajarinya ialah melengkapkan Dokumen Tender. Walaupun saya menghadapi sedikit masalah kerana masih baru dalam bahasa dokumentasi ini tetapi itu tidak menjadi halangan kepada saya untuk menyiapkan tugasan tersebut. Hal ini kerana saya dibantu dan mendapat kerjasama yang baik daripada kakitangan yang ada.
Semasa di tempat Latihan Industri, saya juga dapat mendisiplinkan diri dalam menepati waktu kerja yang telah ditetapkan iaitu dari jam lapan pagi hingga jam lima petang. Saya juga dapat merasai suasana kerja yang sebenar dan ini boleh dijadikan pengalaman yang berguna apabila saya memasuki alam pekerjaan nanti. Saya juga dilatih untuk bekerjasama dalam melaksanakan tugasan bersama-sama pelajar praktikal yang lain seperti mendapatkan pandangan mereka, bertanyakan sesuatu yang tidak difahami serta melakukan kerja-kerja secara berkumpulan.
0 comments: